24 October 2009

Masalah, Masalah, MASALAH!!!!

Pernahkah kita lalui seharian dengan tidak pernah ada masalah? Masalah tentunya akan hadir bagi menghiasi hari-hari kita. Tidak kira dalam apa jua bentuk kerana masalah ini bukan dari satu keluarga atau satu kaum sahaja, malah berjuta-juta bangsa masalah yang ada dalam kehidupan kita, melebihi nisbah jumlah manusia.

Ada masalah datang dari jenis kewangan, rumah tangga, hubungan dengan kawan, hubungan dengan pasangan kekasih, tekanan kerja, ugutan, hutang, pengangkutan, tekanan perasaan,pembelajaran dan bermacam-macam jenis lagi yang tidak terdaya untuk saya senaraikan. Bayangkan, setiap anggota tubuh badan kita tidak kira luaran mahu pun dalaman adalah bersedia untuk memberikan masalah kepada kita.

Namun, persoalannya, mengapa kita dipikulkan dengan risiko masalah dalam kehidupan? Kejamkah Allah memberikan kita masalah yang begitu banyak?? Nauzubillah..

Masalah dianugerahkan seiringan dalam kehidupan setiap insan. Sebelum kita berfikir yang bukan-bukan, renungi satu maksud firman Allah SWT yang bermaksud, "Tidak akan kami pikulkan kamu dengan masalah yang kamu tidak terdaya". Jelas sekali daripada ayat tersebut mengatakan setiap masalah yang kita hadapi itu adalah mengikut kadar keupayaan kita masing-masing.

Di sebalik ayat tersebut, ia menjelaskan bahawa masalah dan konflik kehidupan itu bukan suatu bala bahkan ia adalah anugerah khas untuk setiap insan. Mengapa anugerah? Cuba kita lihat dalam sebuah pasukan polis. Sekiranya ada kes-kes yang berprofil tinggi, siapakah yang akan mengetuai misi tersebut? Konstabel? Lans Koperal? Koperal? Sarjan? Pastinya bukan nama-nama itu yang bertanggungjawab dalam strategi operasi tetapi sekurang-kurangnya mestilah yang berkelas pegawai seperti Inspektor dan ke atas.

Sama juga dengan kita, jika kita rasa masalah yang kita hadapi itu adalah berat, maka itulah pangkat kita. Nilaikan diri kita berdasarkan masalah yang datang. Semakin besar masalah, sebenarnya semakin tinggi darjat kita, semakin tinggi tingkat keimanan kita. Tapi awas, tahap-tahap tersebut akan tercapai jika kita menghadapi masalah tersebut dengan tabah, sabar dan redha. Redha bukanlah bermaksud berserah semata-mata tanpa berbuat apa-apa.

Redha di sini adalah mengakui kehadiran setiap masalah itu terselit hikmah dan keredhaan Allah. Setelah itu, berusaha dengan sabar dan gigih seboleh mungkin untuk menyelesai dan melalui masalah tersebut sehingga selama-lamanya atau sehingga ke poenghujungnya.

Masalah dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Sekiranya kita bercuti untuk lari daripada masalah, itu adalah persepsi yang sangat lemah. Ayuhlah kita bersedia untuk setiap anugerah tersebut. Semoga kita lebih bersabar.

No comments:

Post a Comment