31 August 2009

Tibanya Waktu yang Tidak Dinanti

Tibanya Waktu yang Tidak Dinanti
oleh:Raja Ahmad Saifulizam (1986-)

Siang dan malam tanda adanya kuasa
Mentari dan bulan silih berganti masa
Menukar tanda waktu menjelma usia

Meniti kejadian Yang Esa menggamit sufi
Namun masih banyak yang leka menggapai cita-cita fatamorgana
Mengajar rama-rama cantik yang hanya hidup sekali
bulan berputar

Sedar atau tidak, manusia kian hampir mengucup waktu
yang tidak dinanti
Namun hidup hanya nafsu dan riang
Mengorak langkah mengejar rama-rama
Kau Jual maruahmu,
Kau perjudi nasibmu,
Kau tamatkan riwayat hidupmu,
Demi kepuasan yang entah bila akan berakhir

Waktu yang kian tiba tidak diendahkan
Harta dan pangkat menjadi igauan dan prinsip
Nafsu syahwat menjadi pedoman terulung
Sogok rasuah budaya kerja sejati

Dimanakah perginya al-Ghazali?
Dimanakah silapnya as-Syafi'e
Tanda tanya yang tidak perlu dilontar
Kerna segalanya kehendak hati dan nafsu yang beraja di akal

Sedar atau tidak, dunia kian hampir tibanya waktu yang
tidak dinanti

30 August 2009

Mimpikan Impian 2

Masuk pulak tingkatan dua, tahun 2000. Tahun milennium. Sebelum tu heboh pasal Y2K. Aku langsung tak tau apa-apa. Cuma aku faham skit, y2k tu tentang komputer.

Masa tingkatan 2 ni, sekolah bertukar menjadi dua sesi. Tingkatan 1 dan 2 sebelah petang, 3,4,& 5 sebelah pagi. Jadi, utk sesi petang, ada pemilihan ketua organisasi, persatuan dan kelab sendiri la. Masa tu, aku hanya ada satu organisasi je - Pengawas PSS je -. Tapi alhamdulillah, aku dilantik menjadi ketua untuk sesi petang tu. Aku tak dapat nak bagi bayangan macam mana perasaan aku masa tu sebab itulah kali pertama aku dilantik sebagai administrator.

Beberapa minggu lepas tu, ada pulak perjumpaan ahli surau di Asrama. Aku lupa dah macam mana aku boleh dipanggil perjumpaan tu. Kalau tak silap, dia kira dari segi kehadiran waktu solat subuh. Tambah lagi aku selalu jugak azan masa tak ada orang nak azan.

Aku terpilih menjadi muazzin tetap (Subuh, Maghrib & Isyak) kat surau tu. Nak tau, selalu je aku tengok carta organisasi surau tu. Aku perhati betul-betul satu persatu sampailah kepada nama aku. Aku cuba menjadi orang lain kemudian menilai, layak ke tak nama tu ada kat situ. Tapi selalu tak pernah dapat jawapan. Dalam diri aku, aku bangga kerana ada orang yang percayakan aku. Memang itu cara aku.

Tahun ni juga sekolah ada enganjurkan sukan oalahraga peringkat sekolah. Tahun lepas tak ada sebab sekolah menjadi tuan rumah untuk sekan peringkat PPD (ada 3 daerah - Tanam Merah-Machang-Jeli). Aku macam biasa, terpilih mewakili rumah kuning. Kat sekolah aku, pakai nama kereta (Merah - Saga, Biru - Wira, Kuning - Satria, Hijau - lupa pulak). Jadi, aku dalam rumah Kereta Satria. Aku mendaftar untuk menyertai acara 5000 meter. Sebabnya, masa darjah 6 dulu, aku wakil sekolah untuk acara merentas desa 6KM. Jadi, aku yakin dapat menamatkan larian. Aku tak pernah terfikir pun untuk menang sebab sekolah aku ni adalah antara sekolah yang melahirkan ramai atlit di PPD. Tapi alhamdulillah, akhirnya aku menamatkan larian di tempat ketiga. Ok la tu sebab tempat kedua disandang pelajar tingkatan 5, tempat pertama pula daripada pelajar tingkatan 4. Aku yang setahun jagung ni dikira paling berjaya la kot..Hehehe

Tahun 2000 ni tak banyak yang menarik. Cuma aku tak boleh lupa, tugas aku tiap-tiap hari adalah ambil kunci PSS then bukak. Tiap-tiap kali waktu rehat, aku cuma habiskan masa kt PSS je. Dah dekat-dekat nak habis masa rehat tu, baru aku keluar untuk cari makan skit. Slalunya kuih je. Air pun tak.

Masa tingkatan dua la aku terfikir, bestnya kalau dapat jadi pelajar contoh kat sekolah. Jadi pelajar yang dikenali guru-guru dan pelajar sebagai orang yang mengharumkan nama sekolah...to be continue on tingkatan 3

26 August 2009

Mimpikan Impian 1

dulu masa kecik-kecik, selalu je aku angankan untuk menjadi orang pertama dalam kelompok yang besar. Aku masih tak tau, apa maksud impian aku tu.

Masa di tingkatan satu, aku mulai matang. Melihatkan keadaan dan penampilan diri aku, aku agak pasti bahawa segala impian tu hanyalah angan-angan yang terpengaruh daripada komik dan televisyen sahaja.

Permulaan kepada segala-galanya apabila cikgu Bahasa Inggeris aku masa tingkatan satu tu, Puan Sabariah, merupakan seorang guru perpustakaan. Satu hari tu, dia nak cari pengawas perpustakaan. Pengawas PSS tu pakai baju biru. Kebetulan aku ada baju sekolah warna biru (baju untuk murid tahun 6 sekolah lama aku). So, aku pun angkat la tangan untuk jadi pengawas PSS. Padahal, masa kat sekolah rendah dulu, aku x reti pun nak pinjam buku kat PSS. Maklumlah, aku ni dulu jenis yang sangat senyap, kurang bergaul dan sangat susah untuk bertanya. Maka, jadilah aku pengawas perpustakaan sekolah dengan rasminya, dan terus memakai uniform warna biru, lain dari murid-murid (masa tu dipanggil pelejar lagi) biasa. Dekat hujung-hujung tahun tu, aku diterima masuk untuk menginap di asrama sekolah. Maka. bermula pula kisah aku berdikari. Tapi, x banyak yang betul-betul menyusahkan kehidupan aku di asrama sebab aku memang selalu je uruskan diri sendiri masa kat umah sejak darjah satu lagi. Basuh baju, basuh kasut, jaga kenderaan aku yang paling aku sayang (basikal) sampailah kepada menguruskan masa aku (kecuali bangun tidur pagi). Semuanya mamang dah aku amalkan. Jadi, aku tak kekok sangat tinggal berdikari di Asrama. Apa yang aku hadapi adalah, perhubungan dengan lebih ramai orang, yang selama ni tak pernah aku lalui. Hmmm...

Pernah jugak kena ragging kat senior. Tapi aku tak sedar pun aku kena ragging. Hehehe, maklumlah, sejarah pergaulan aku sangat lemah. So, bagi aku biasa je dengan semua tu..

Masuk pulak tangkatan dua.... (bersambung)

22 August 2009

Salam Ramadhan

Akhirnya tiba jua Ramadhan yg penuh berkat ini. Ingat, dalam banyak-banyak bulan, bulan Ramadhan adalah diberikan khusus untuk memberikan kepada kita pahala, kebajikan dan keredhaan Allah s.w.t.

19 August 2009

Profesionalisme Orang Kita


Professional bermaksud melakukan yang terbaik mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan dan diiktiraf tanpa dipengaruhi unsur-unsur luar yang tiada kaitan dengan etika kerja yang sedang dijalankan.

Zaman sekarang, ramai dalam kalangan kita yang gagal dalam pelaksanaan profesionalisme secara berkesan dan terkawal. Emosi merupakan faktor utama yang menjadikan profesionalisme terabai. Sebagai golongan yang dianggap profesional, orang-orang ini tidak seharusnya membiarkan perasaan mempengaruhi sesuatu yang dibuat. Perlu diingat, ramai yang akan menyumpah-nyumpah dengan keputusan yang tidak munasabah, yang lahir daripada emosi.

Kenangan dan dendam yang lalu, yang tiada kaitan dengan situasi semasa juga tidak harus dibiar bermaharajalela. Inikah digelar sebagai profesional? Ada pula sesetengah golongan ini yang bercita-cita untuk menggapai awan dengan hanya membuat layang-layang... Sangat pelik dan mengelirukan saya.

Harapnya, teman-teman lain tidak tergolong dengan masalah ini.

17 August 2009

Salam Ramadhan

Alhamdulillah, dalam masa lebih kurang seminggu lagi kita semua umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Dalam masa yang ada sekarang ini, marilah sama-sama kita muhasabah diri, kenangkan apa yang telah kita lakukan pada Ramadhan yang lepas. Mesti terdapat beberapa kelompangan dan ketidaksempurnaan. Kali ini, tanamkan semangat dan azam yang lebih tinggi agar puasa pada tahun ini akan bertambah peratusan pahalanya. Jauhkan daripada perasaan ingin membuat perkara-perkara mungkar. Semoga kita benar-benar mendapat puasa yang terbaik. InsyaAllah.

Ruginya Ramadhan



Oleh: Raja Ahmad Saifulizam Bin Raja Ariffin


Ramadhan adalah salah satu bulan yang terdapat dalam kalendar Islam dan juga merupakan antara bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh penganut-penganutnya. Hal ini demikian kerana, dalam bulan Ramadhan, terdapat satu ibadah yang sangat dirasai sama ada kedatangan mahu pun pemergiannya, iaitu puasa. Puasa merupakan salah satu daripada 5 rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam yang cukup syarat-syaratnya. Berdasarkan istilah, puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum bermula terbutnya fajar sehingga terbenamnya matahari dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu. Dalam pengertian yang lebih luas, puasa bukan sekadar menahan diri daripada berlapar dan dahaga semata-mata, malah berpuasa juga menahan 5 pancaindera manusia iaitu mata, telinga, hidung, mulut dan tulang 4 kerat serta hati daripada terjebak dengan perkara-perkara yang mazmumah, iaitu sifat yang tidak baik. Ramadhan menjadi medan muhasabah diri yang terbaik kerana sepanjang sebulan dalam bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan iblis-iblis dirantai dan dibelenggu supaya mereka terhalang daripada terus menggoda dan memperdaya umat manusia.

Namun begitu, manusia tidak akan pernah gersang daripada berhadapan dengan cabaran dan dugaan Allah s.w.t walaupun tanpa kehadiran syaitan dan iblis. Dalam bermacam-macam bentuk perkara yang sering menjadi dugaan umat Islam dalam Ramadhan, sedar atau pun tidak, ramai antara kita yang sukar mengatasi godaan nafsu dam hal pemakanan. Benar kata orang bijak pandai, manusia selamanya akan melawan kehendak suruhan yang benar. Perkara yang berkaitan dengan makanan ini termasuklah penyediaan, sumbangan, cara pemakanan dan pelaksanaan garis panduan.

Perkara pertama yang amat popular dan sudah sinonim dalam Ramadhan terhadap masyarakat kini ialah pembaziran. Secara takrifan, pembaziran boleh dimaksudkan sebagai perbelanjaan, penyumbangan, perbuatan atau pelaburan terhadap perkara-perkara yang tidak diperlukan atau sekadar mengikut hawa nafsu semata-mata sehingga menyebabkan perkara yang dibelanja, disumbang, dibuat dan dilabur itu tidak mendatangkan manfaat. Pembaziran (yang berkaitan dengan tajuk kali ini) akan berlaku jika seseorang itu membeli terlalu banyak makanan sehingga melebih-lebih dan tidak mampu dihabiskan. Senario di Malaysia pada masa kini, kita suka membeli barang makanan dengan banyak sekali pada waktu petang – waktu yang banyak dipengaruhi nafsu lapar. Namun, akhirnya banyak makanan itu dibuang dan jika bernasib baik sedikit, makanan tersebut diberikan kepada haiwan peliharaan seperti ayam dan kucing. Kenyataan yang tidak boleh disangkal lagi ialah, walaupun makanan yang tidak habis itu diberikan kepada haiwan-haiwan seperti yang disebutkan tadi, tetapi pembaziran tetap pembaziran. Pokoknya di sini, kesemua makanan yang kita belikan itu adalah atas kehendak selera kita sendiri, bukan selera haiwan. Keadaan ini menunjukkan bahawa pada awalnya kita membeli makanan itu untuk diri sendiri dan telah dipasang niat untuk memakan semua makanan yang dibeli. Sekiranya kita menggunakan akal semasa membeli makanan untuk juadah berbuka puasa itu, sudah pasti kita tahu menilai sejauhmana kemampuan badan terutama perut untuk mengisinya. Tambahan pula, Islam telah memberikan garis panduan yang sangat berguna kepada umatnya dalam merencanakan hidangan berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran. Sesungguhnya membazir itu amalan syaitan dan sangat ditegah oleh hukum syarak.

Selain pembaziran, umat Islam turut diuji dengan nafsu makan yang amat kuat. Mereka akan makan sepuas-puasnya sehingga melampaui batas kekenyangan semasa menghadap hidangan berbuka puasa. Perkara ini jelas sekali tidak digalakkan dalam ajaran Islam, apatah lagi jauh menyimpang dari tatatertib berbuka puasa. Menurut Tuan Guru An-Nun, pengasas Pusat Kerohanian An-Nur, Kelantan, Nabi Muhammad s.a.w. telah menggariskan panduan berbuka puasa yang dimulai dengan beberapa biji kurma sahaja bagi sekadar berbuka puasa dan mendapatkan sedikit tenaga sebelum berwudhuk dan menunaikan solat maghrib. Setelah selesai solat maghrib, barulah menjamah hidangan makanan berat mengikut kuantiti yang sederhana supaya tidak terlampau kenyang. Cukup sekadar menghilangkan rasa lapar. Kemudian, pada ruang waktu yang ada sebelum tibanya Isyak, digalakkan berehat kerana perlu bersedia untuk solat Isyak dan solat sunat tarawih. Kajian mengesahkan bahawa makan terlalu banyak terutama semasa berbuka puasa boleh menyebabkan badan menjadi semakin penat dan lesu. Keletihan dan kelesuan inilah yang menyebabkan ramai antara kita tidak mampu untuk terus berada di surau atau masjid sepanjang malam-malam Ramadhan. Kebiasaannya, setelah melepasi 10 hari pertama Ramadhan, akan berlakulah fenomena pengurangan makmum di surau dan masjid. Kita akan kurang bermaya untuk terus konsisten. Tahukah anda bahawa, faktor makananlah yang menjadi penyebabnya? Ya, dengan kuantiti makanan yang terlalu banyak semasa berbuka puasa mengurangkan stamina untuk menyokong perjuangan umat Islam di surau dan masjid. Hanya segelintir sahaja yang mampu mengatasi masalah ini dengan berkesan, itu pun tidak lain dan tidak bukan, hanya dengan cara menjaga pemakanan semasa berbuka puasa. Menyoroti kesan makan terlalu banyak semasa berbuka puasa, Tuan Guru An-Nun turut menceritakan pengalamannya yang berlaku ke atas anak kawannya yang meninggal setelah berbuka puasa. Apabila dilakukan pemeriksaan dan bedah siasat, punca kematian adalah kerana beliau makan dengan banyak sekali sewaktu berbuka puasa. Inilah keajaiban di Malaysia, terdapat penduduknya meninggal dunia kerana terlebih makan, sedangkan terdapat berjuta-juta penduduk di negara-negara lain yang mati kebuluran. Padahal, antara iktibar daripada puasa ialah mengingati sahabat-sahabat seagama yang berada dalam kesempitan hidup. Nyatalah di sini bahawa, tidak ramai yang betul-betul menghayati makna Ramadhan yang sebenar.

Malaysia sememangnya negara yang bertuah, dan nikmat itu dpat dirasai oleh penduduknya. Menjelang sahaja bulan Ramadhan al-Mubarak, berduyun-duyun orang yang berkemampuan dan berada menaburkan wang-wang mereka bagi menyokong dan menyumbang kepada majlis-majlis berbuka puasa. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya khemah-khemah yang didirikan khas untuk majlis berbuka puasa. Bukan itu sahaja, adakalanya akan diwar-warkan melalui radio dan kain-kain rentang. Namun begitu, pelaksanaan tersebut sering sahaja menjadi isu perbincangan serius oleh para ulama’ dan para ilmuan yang mendakwa pelaksanaanya tidak menepati cara Islam yang mutlak. Sememangnya cukup jelas bahawa sungguh murni dan besar ganjarannya bagi orang-orang yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Akan tetapi, ganjaran dan kemurnian tersebut sebenarnya adalah untuk orang yang betul-betul ikhlas sahaja. Keikhlasan mereka ini diragui kerana mereka suka menggembar-gemburkan majlis dan sumbangannya kepada orang luar. Di manakah sunnah Rasulullah s.a.w. yang menyuruh umatnya bersedekah tanpa diketahui oleh orang lain? Akhirnya, sumbangan itu pudar nilainya, kemurnian bertukar menjadi riak.

Sebut sahaja, tidak akan terlepas dari sahur. Sahur merupakan makan pada waktu pagi hari sebelum tibanya waktu imsak. Jika berbuka, sunat diawalkan tetapi sahur pula sunat dilewat-lewatkan. Sahur sangat digalakkan kepada semua umat Islam kerana dengan bersahur, kita akan lebih bertenaga untuk menghadapi puasa pada siang hari. Selain itu, dengan bersahur juga dapat memberikan ruang waktu untuk mengerjakan amalan-amalan sunat yang lain pada waktu malam atau qiamullail. Di samping itu, bersahur juga boleh menggalakkan kita mengerjakan solat subuh pada awal waktu di surau atau masjid. Kontranya bagi sesetengah umat Islam di Malaysia ini, mereka tidak suka untuk bersahur dengan alasan penat dan mengantuk. Bahkan, ada antara kita yang berbangga kerana mampu berpuasa seharian tanpa bersahur, nauzubillah. Walaupun perkara ini kita anggap remeh tetapi, hikmah disebaliknya harus disemak kembali.

Bulan Ramadhan terkenal dengan bulan ibadah. Ekoran dari itu, kita dapat lihat pertambahan manusia-manusia yang akan memenuhi tempat-tempat ibadah, malah secara individu, kita akan merasai satu semangat untuk mengerjakan ibadah. Maka ramailah yang akan bersedekah dan melakukan amal-amal jariah yang lain bagi mengejar ganjaran pahala yang berlipat kali ganda besarnya berbanding bulan-bulan lain. Walau bagaimanapun, terdapat lagi sebahagian daripada kalangan kita yang sebenarnya tidak gembira dengan kehadiran Ramadhan. Dalam hati mereka merungut-rungut takut kelaparan pada siang hari. Lalu mereka mengambil jalan mudah untuk meninggalkan ibadah puasa dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Pelbagai alasan diberikan dengan harapan hanya untuk melepaskan diri daripada dikatakan sebagai “pemonteng puasa”. Mereka akan menampilkan laporan kesihatan yang “dibeli” untuk membuktikan bahawa mereka dinasihatkan oleh doktor supaya sentiasa makan dan tidak boleh lapar. Walhal, puasa tiada kaitan dengan doktor sekali pun. Kedai-kedai makan pula bagai mengalu-alukan kedatangan orang-orang yang “ponteng” puasa ini untuk menjamu selera tengahari di kedai mereka. Sungguh hina perniagaan mereka, memberi makan kepada orang yang tidak berpuasa.

Sepatutnya, umat Islam di Malaysia khasnya, berasa insaf dan sedar bahawa terdapat begitu banyak kelebihan dan nikmat yang Allah s.w.t. taburkan dalam bulan Ramadhan al-Mubarak bagi orang-orang yang berpuasa dan menguruskan pemakanan secara teratur dengan berpandukan garis panduan yang digarapkan oleh Islam. Ingatlah bahawa, kita berpuasa atas nama Islam, jadi semestinya kita melaksanakan segala amalan di dalamnya juga mengikut kehendak Islam, bukan kerana nafsu dan nama semata-mata. Dengan ini jelaslah bahawa melalui pemakanan yang bersistematik sepanjang Ramadhan, nescaya umat Islam mampu mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya secara berganda. Tepuk dada, tanyalah hati, adakah Ranadhan kali ini menjadi suatu kerugian dengan hanya disebabkan oleh faktor makanan? Padahal, makanan diturunkan sebagai rezeki yang memberikan bermacam-macam faedah kepada manusia.


Ketenangan Sejati

Tahukah anda, ketenangan sejati akan terbina daripada usha kita sendiri?
Sedarkah sahabat-sahabat bahawa kebanyakan daripada kita selalu menyalahkan orang lain apabila kita tidak mencapai tahap ketenangan?
Bagaimana pula cara anda mencari ketenangan?