17 August 2009

Ruginya Ramadhan



Oleh: Raja Ahmad Saifulizam Bin Raja Ariffin


Ramadhan adalah salah satu bulan yang terdapat dalam kalendar Islam dan juga merupakan antara bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh penganut-penganutnya. Hal ini demikian kerana, dalam bulan Ramadhan, terdapat satu ibadah yang sangat dirasai sama ada kedatangan mahu pun pemergiannya, iaitu puasa. Puasa merupakan salah satu daripada 5 rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam yang cukup syarat-syaratnya. Berdasarkan istilah, puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum bermula terbutnya fajar sehingga terbenamnya matahari dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu. Dalam pengertian yang lebih luas, puasa bukan sekadar menahan diri daripada berlapar dan dahaga semata-mata, malah berpuasa juga menahan 5 pancaindera manusia iaitu mata, telinga, hidung, mulut dan tulang 4 kerat serta hati daripada terjebak dengan perkara-perkara yang mazmumah, iaitu sifat yang tidak baik. Ramadhan menjadi medan muhasabah diri yang terbaik kerana sepanjang sebulan dalam bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan iblis-iblis dirantai dan dibelenggu supaya mereka terhalang daripada terus menggoda dan memperdaya umat manusia.

Namun begitu, manusia tidak akan pernah gersang daripada berhadapan dengan cabaran dan dugaan Allah s.w.t walaupun tanpa kehadiran syaitan dan iblis. Dalam bermacam-macam bentuk perkara yang sering menjadi dugaan umat Islam dalam Ramadhan, sedar atau pun tidak, ramai antara kita yang sukar mengatasi godaan nafsu dam hal pemakanan. Benar kata orang bijak pandai, manusia selamanya akan melawan kehendak suruhan yang benar. Perkara yang berkaitan dengan makanan ini termasuklah penyediaan, sumbangan, cara pemakanan dan pelaksanaan garis panduan.

Perkara pertama yang amat popular dan sudah sinonim dalam Ramadhan terhadap masyarakat kini ialah pembaziran. Secara takrifan, pembaziran boleh dimaksudkan sebagai perbelanjaan, penyumbangan, perbuatan atau pelaburan terhadap perkara-perkara yang tidak diperlukan atau sekadar mengikut hawa nafsu semata-mata sehingga menyebabkan perkara yang dibelanja, disumbang, dibuat dan dilabur itu tidak mendatangkan manfaat. Pembaziran (yang berkaitan dengan tajuk kali ini) akan berlaku jika seseorang itu membeli terlalu banyak makanan sehingga melebih-lebih dan tidak mampu dihabiskan. Senario di Malaysia pada masa kini, kita suka membeli barang makanan dengan banyak sekali pada waktu petang – waktu yang banyak dipengaruhi nafsu lapar. Namun, akhirnya banyak makanan itu dibuang dan jika bernasib baik sedikit, makanan tersebut diberikan kepada haiwan peliharaan seperti ayam dan kucing. Kenyataan yang tidak boleh disangkal lagi ialah, walaupun makanan yang tidak habis itu diberikan kepada haiwan-haiwan seperti yang disebutkan tadi, tetapi pembaziran tetap pembaziran. Pokoknya di sini, kesemua makanan yang kita belikan itu adalah atas kehendak selera kita sendiri, bukan selera haiwan. Keadaan ini menunjukkan bahawa pada awalnya kita membeli makanan itu untuk diri sendiri dan telah dipasang niat untuk memakan semua makanan yang dibeli. Sekiranya kita menggunakan akal semasa membeli makanan untuk juadah berbuka puasa itu, sudah pasti kita tahu menilai sejauhmana kemampuan badan terutama perut untuk mengisinya. Tambahan pula, Islam telah memberikan garis panduan yang sangat berguna kepada umatnya dalam merencanakan hidangan berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran. Sesungguhnya membazir itu amalan syaitan dan sangat ditegah oleh hukum syarak.

Selain pembaziran, umat Islam turut diuji dengan nafsu makan yang amat kuat. Mereka akan makan sepuas-puasnya sehingga melampaui batas kekenyangan semasa menghadap hidangan berbuka puasa. Perkara ini jelas sekali tidak digalakkan dalam ajaran Islam, apatah lagi jauh menyimpang dari tatatertib berbuka puasa. Menurut Tuan Guru An-Nun, pengasas Pusat Kerohanian An-Nur, Kelantan, Nabi Muhammad s.a.w. telah menggariskan panduan berbuka puasa yang dimulai dengan beberapa biji kurma sahaja bagi sekadar berbuka puasa dan mendapatkan sedikit tenaga sebelum berwudhuk dan menunaikan solat maghrib. Setelah selesai solat maghrib, barulah menjamah hidangan makanan berat mengikut kuantiti yang sederhana supaya tidak terlampau kenyang. Cukup sekadar menghilangkan rasa lapar. Kemudian, pada ruang waktu yang ada sebelum tibanya Isyak, digalakkan berehat kerana perlu bersedia untuk solat Isyak dan solat sunat tarawih. Kajian mengesahkan bahawa makan terlalu banyak terutama semasa berbuka puasa boleh menyebabkan badan menjadi semakin penat dan lesu. Keletihan dan kelesuan inilah yang menyebabkan ramai antara kita tidak mampu untuk terus berada di surau atau masjid sepanjang malam-malam Ramadhan. Kebiasaannya, setelah melepasi 10 hari pertama Ramadhan, akan berlakulah fenomena pengurangan makmum di surau dan masjid. Kita akan kurang bermaya untuk terus konsisten. Tahukah anda bahawa, faktor makananlah yang menjadi penyebabnya? Ya, dengan kuantiti makanan yang terlalu banyak semasa berbuka puasa mengurangkan stamina untuk menyokong perjuangan umat Islam di surau dan masjid. Hanya segelintir sahaja yang mampu mengatasi masalah ini dengan berkesan, itu pun tidak lain dan tidak bukan, hanya dengan cara menjaga pemakanan semasa berbuka puasa. Menyoroti kesan makan terlalu banyak semasa berbuka puasa, Tuan Guru An-Nun turut menceritakan pengalamannya yang berlaku ke atas anak kawannya yang meninggal setelah berbuka puasa. Apabila dilakukan pemeriksaan dan bedah siasat, punca kematian adalah kerana beliau makan dengan banyak sekali sewaktu berbuka puasa. Inilah keajaiban di Malaysia, terdapat penduduknya meninggal dunia kerana terlebih makan, sedangkan terdapat berjuta-juta penduduk di negara-negara lain yang mati kebuluran. Padahal, antara iktibar daripada puasa ialah mengingati sahabat-sahabat seagama yang berada dalam kesempitan hidup. Nyatalah di sini bahawa, tidak ramai yang betul-betul menghayati makna Ramadhan yang sebenar.

Malaysia sememangnya negara yang bertuah, dan nikmat itu dpat dirasai oleh penduduknya. Menjelang sahaja bulan Ramadhan al-Mubarak, berduyun-duyun orang yang berkemampuan dan berada menaburkan wang-wang mereka bagi menyokong dan menyumbang kepada majlis-majlis berbuka puasa. Hal ini dapat dilihat dengan wujudnya khemah-khemah yang didirikan khas untuk majlis berbuka puasa. Bukan itu sahaja, adakalanya akan diwar-warkan melalui radio dan kain-kain rentang. Namun begitu, pelaksanaan tersebut sering sahaja menjadi isu perbincangan serius oleh para ulama’ dan para ilmuan yang mendakwa pelaksanaanya tidak menepati cara Islam yang mutlak. Sememangnya cukup jelas bahawa sungguh murni dan besar ganjarannya bagi orang-orang yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Akan tetapi, ganjaran dan kemurnian tersebut sebenarnya adalah untuk orang yang betul-betul ikhlas sahaja. Keikhlasan mereka ini diragui kerana mereka suka menggembar-gemburkan majlis dan sumbangannya kepada orang luar. Di manakah sunnah Rasulullah s.a.w. yang menyuruh umatnya bersedekah tanpa diketahui oleh orang lain? Akhirnya, sumbangan itu pudar nilainya, kemurnian bertukar menjadi riak.

Sebut sahaja, tidak akan terlepas dari sahur. Sahur merupakan makan pada waktu pagi hari sebelum tibanya waktu imsak. Jika berbuka, sunat diawalkan tetapi sahur pula sunat dilewat-lewatkan. Sahur sangat digalakkan kepada semua umat Islam kerana dengan bersahur, kita akan lebih bertenaga untuk menghadapi puasa pada siang hari. Selain itu, dengan bersahur juga dapat memberikan ruang waktu untuk mengerjakan amalan-amalan sunat yang lain pada waktu malam atau qiamullail. Di samping itu, bersahur juga boleh menggalakkan kita mengerjakan solat subuh pada awal waktu di surau atau masjid. Kontranya bagi sesetengah umat Islam di Malaysia ini, mereka tidak suka untuk bersahur dengan alasan penat dan mengantuk. Bahkan, ada antara kita yang berbangga kerana mampu berpuasa seharian tanpa bersahur, nauzubillah. Walaupun perkara ini kita anggap remeh tetapi, hikmah disebaliknya harus disemak kembali.

Bulan Ramadhan terkenal dengan bulan ibadah. Ekoran dari itu, kita dapat lihat pertambahan manusia-manusia yang akan memenuhi tempat-tempat ibadah, malah secara individu, kita akan merasai satu semangat untuk mengerjakan ibadah. Maka ramailah yang akan bersedekah dan melakukan amal-amal jariah yang lain bagi mengejar ganjaran pahala yang berlipat kali ganda besarnya berbanding bulan-bulan lain. Walau bagaimanapun, terdapat lagi sebahagian daripada kalangan kita yang sebenarnya tidak gembira dengan kehadiran Ramadhan. Dalam hati mereka merungut-rungut takut kelaparan pada siang hari. Lalu mereka mengambil jalan mudah untuk meninggalkan ibadah puasa dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Pelbagai alasan diberikan dengan harapan hanya untuk melepaskan diri daripada dikatakan sebagai “pemonteng puasa”. Mereka akan menampilkan laporan kesihatan yang “dibeli” untuk membuktikan bahawa mereka dinasihatkan oleh doktor supaya sentiasa makan dan tidak boleh lapar. Walhal, puasa tiada kaitan dengan doktor sekali pun. Kedai-kedai makan pula bagai mengalu-alukan kedatangan orang-orang yang “ponteng” puasa ini untuk menjamu selera tengahari di kedai mereka. Sungguh hina perniagaan mereka, memberi makan kepada orang yang tidak berpuasa.

Sepatutnya, umat Islam di Malaysia khasnya, berasa insaf dan sedar bahawa terdapat begitu banyak kelebihan dan nikmat yang Allah s.w.t. taburkan dalam bulan Ramadhan al-Mubarak bagi orang-orang yang berpuasa dan menguruskan pemakanan secara teratur dengan berpandukan garis panduan yang digarapkan oleh Islam. Ingatlah bahawa, kita berpuasa atas nama Islam, jadi semestinya kita melaksanakan segala amalan di dalamnya juga mengikut kehendak Islam, bukan kerana nafsu dan nama semata-mata. Dengan ini jelaslah bahawa melalui pemakanan yang bersistematik sepanjang Ramadhan, nescaya umat Islam mampu mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya secara berganda. Tepuk dada, tanyalah hati, adakah Ranadhan kali ini menjadi suatu kerugian dengan hanya disebabkan oleh faktor makanan? Padahal, makanan diturunkan sebagai rezeki yang memberikan bermacam-macam faedah kepada manusia.


No comments:

Post a Comment